Mengenai Saya

Foto saya
Pemuda-pemudi pemimpin masa depan negara. Saya bercita-cita supaya saya termasuk salah seorang pembina sahsiah diri remaja kita hari ini.Walaupun sedikit dan kecil. Semoga dikira sebagai amal yang diterima.

Selasa, 31 Disember 2019

Scammer cari makan.

SEPANDAI TUPAI MELOMPAT AKHIRNYA TERKANTOI JUGA...
Saya kasihan dengan orang yang susah, disusahkan lagi dengan penipuan manusia tamak tidak berhati perut, banyak pendedahan yang dibuat maka semakin licik lah kegiatan scammer pembohong. Antara penipuan yang sudah ramai terkena adalah :

1- Panggilan daripada pejabat pos, mulanya panggilan itu dijawab oleh mesin mengatakan ada barang yang tidak dituntut, kemudian mangsa akan di arahkan menekan nombor untuk disambung kepada pegawai bertugas menerangkan bukan barang yang tidak dituntut tetapi ada sekatan transaksi yang anda lakukan dan minta anda ke pejabat pos Kuantan, kerana barang yang anda hantar ke Serawak tidak dapat dihantar yang berisi kad pengenalan dan kad kredit maybank, kemudian talian akan disambungkan kepada 'bahagian khas polis Kuantan'. Scammer akan menyuruh anda melihat Google nombor polis Kuantan kemudian mengatakan dia akan merekod perbualan anda menggunakan satu lagi nombor telefon yang hampir sama seperti nombor yang anda google tetapi mempunyai 'nombor kod khas' didepannya. Kemudian dia menanyakan butir peribadi anda. Di situlah anda akan dijerat.

2-Lebih kurang sama dengan cara yang pertama, tetapi menggunakan nama telekom malaysia. Katanya akaun telefon anda akan di potong dalam masa 2 jam kerana telekom mendapati akaun anda telah disalahgunakan untuk kegiatan yang salah/jenayah. Jangan sekali-kali mendedahkan maklumat peribadi anda atau ditipu! Saya cukup menyampah! Boleh blah, lepas dua jam cuba tengok talian anda tidak diapa-apakan. Sebab mereka sebenarnya pembohong besar.

3- Yang ni sangat licik, penipu ini akan menggunakan nama page facebook peniaga sebenar untuk menipu mangsa dengan jualan harga yang sangat-sangat murah, scammer ini boleh menyamar jadi penjual kain,penjual kasut, penjual emas, atau ajen apa sajalah yang yang dia boleh fikir. kemudian lepas mangsa bank in duit ke akaun yang disuruh, dia senyap je tak jawab fon/ tak balas mesej kemudian mangsa akan hubungi peniaga yang sebenar. kat situlah pecah tembelang. Biasanya bila dah kantoi ramai dia akan tukar nombor fon. Kesian kat orang yang nak berjimat duit tapi makin rugi, lagi kesian kat peniaga online yang betul-betul nak cari rezeki tapi terjejas sebab scammer penipu macam ni.

4- Cara yang ke empat, agak lapuk bila call dia menyamar dari mahkamah atau polis dan menuntut supaya bayaran dibuat untuk melepaskan diri dari kes jenayah yang anda tak pernah buat, biasanya mangsa yang panik akan segera buat pembayaran dan hanya sedar selepas pembayaran dibuat.

5- Lovescam / mesej bahawa anda menang peraduan/ mesej atau emel bahawa anda dapat sejumlah duit yang sangat banyak atau tiba tiba dapat bantuan yang tak pernah anda minta , tapi nak dapatkan duit ni anda kena bayar sejumlah wang... haih yang ni tak payah cerita dah selalu keluar berita.

6- Cara ni biasanya kena pada badan kebajikan / sekolah / madrasah (biasanya akaun yang terdedah), yang dia ada tersilap dermakan sejumlah wang ke akaun mangsa dan minta refund SEGERA. Kadang peniaga pun terkena juga pasal biasanya kan akaun peniaga online ni terdedah. jadi dia cakap dia dah masukkan duit secara tidak sengaja dan minta mangsa transfer semula ke akaunnya kerana kononnya si penipu ni, dia ada hal yang sangat mustahak yang perlu diselesaikan segera. RELAX! cek la akaun awak online sekejap je tak sampai pun seminit. Kalau tak ada transaksi yang didakwa, JANGAN SEKALI KALI transfer duit tak kira lah apa pun alasannya, biasa alasannya kata dah transfer tapi giro transfer jadi ambil masa sehari untuk masuk akaun kita, siap bagi slip palsu lagi dan duit tu sangat urgent untuk digunakan waktu tu jugak.

7- Satu lagi cara guna topeng buat kebajikan, contoh menyumbang water filter minta penerima daftar nama kemudian penerima sumbangan tu terpaksa menanggung bayaran ansuran secara terpaksa apabila sejumlah duit dipotong dari akaunnya secara automatik, atau ada juga kononnya nak menyumbang selori batu bata atau simen kepada projek kebajikan yang sedang buat pembinaan kemudiannya meminta agar dibayar kos lori penghantaran. Mangsa akan sedar ditipu setelah lori batu bata atau simen yang diharapkan tidak muncul muncul tiba.

Cukup dulu 7 contoh penipuan zaman moden ni, yang penting kesedaran masyarakat, terkadang bila jumlahnya kecil, dibiarkan saja penipu ni lepas. Kemudian lebih ramai lagi yang kena tipu. Kitalah warganet, kita lah masyarakat, anda pernah terkena? Jangan diamkan!